Monday, July 7, 2008

..SeHArI dI 2008..

Kata-kata sebagaimana sifatnya apabila dilafazkan untuk menyatakan pendirian sendiri lebih berupa suatu pertentangan, memadai untuk menjadi alasan akan adanya perasaan lain yang terluka dan kecewa.

Sukarnya menjaga perasaan pihak lain sama seperti sukarnya untuk menjaga diri sendiri, apatah lagi memikirkan perlunya berbuat kebaikan sesama manusia, tidak sengaja mencetuskan pertentangan yang membawa kepada permusuhan.
Apatah lagi pihak yang terbabit amat perlu bagi menjaga hubungan yang baik, sentiasa harmoni bukan untuk saling hormat, lebih daripada itu hubungan baik dan rapat membawa faedah bersama.

Menerima dan menolak tiba-tiba menjadi persoalan utama dalam hidupnya, pilihan yang menentukan masa depan hidup; pilihan yang sama berat dan penting, sama sukar apabila antara dua pilihan itu ada kepentingannya sendiri.

Dia selalu memikirkan kejayaan bukan suatu yang dianugerahkan kepada seseorang yang berjaya, melainkan ia merupakan usaha, dedikasi dan kesungguhan terhadap usaha itu sendiri.

Lantas, dia merasakan suatu keyakinan dalam hidupnya biarpun berada di tanah leluhur dirasakan suatu yang amat asing, bahawa setiap langkah perlu dilakukan, biarpun hanya meninggalkan satu atau dua jejak di denai waktu.

Selama ini pun dia menempuh hidup dalam kekurangan, serba-serbinya dilakukan bermula daripada angka kosong, hanya berbekalkan semangat anak muda untuk berjaya, kejayaan yang digerak daripada perasaan takut akan kegagalan.

Selepas beberapa musim dia merasakan, di sebalik usia yang semakin tua, dia merasakan semangatnya masih tinggi dan cita-citanya menikmati kejayaan di tanah leluhur sentiasa hidup bagaikan api marah yang membakar dalam dirinya.

Bahawa kegagalan akan menjadi suatu kematian hidup dan menjadi suatu keaiban yang tidak boleh diampun. Dia bersedia untuk menempuh kegagalan selepas berusaha, sedia untuk terus berusaha tanpa jemu jika kejayaan harus dicapai selepas melakukan usaha secara berulang.

“Aku akan bermula pada satu garis untuk terus berlari tanpa mahu menemui garisan penamat,” ikrarnya dalam tekad dan semangat.

No comments:

Post a Comment